ELLEN (kanan) meledak gol kedua England di Stade Oceane, Le Havre, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
Reuters

ENGLAND mara ke separuh akhir Piala Dunia Wanita dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Norway di Le Havre awal pagi tadi, menghasilkan persembahan terbaik mereka pada kejohanan itu setakat ini.

Ellen White meledak gol kelimanya pada kejohanan itu (minit ke-40) selepas gol pembukaan Jill Scott (m-3) dan rembatan kencang Lucy Bronze (m-57) dari penjuru kotak penalti ketika anak buah Phil Neville mencipta pertembungan dinanti-nanti menentang sama ada juara bertahan Amerika Syarikat atau tuan rumah Perancis.

England terlalu unggul di bahagian sayap dengan Lucy bertindak cemerlang selain Nikita Parris yang terlalu pantas, sekalipun dia terlepas penalti lewat aksi, merobek lawan mereka ketika Norway bergelut untuk menangani gerakan tersusun dan kebijaksanaan pemain Inggeris.

“Kami sedar kami hanya dipisahkan satu perlawanan untuk ke final. Kami belum memikirkan mengenainya lagi,” kata kapten Steph Houghton.


LUCY (kiri) menyumbat gol ketiga England mengatasi Norway 3-0. — FOTO Reuters

“Persembahan kami semakin baik. Anda tahu separuh akhir pasti sukar tidak kira siapa yang akan anda temui,” katanya.

Aksi separuh akhir dilangsungkan di Lyon, yang mana Lucy beraksi bersama kelab juara Eropah, Olympique Lyonnais.

Pengurus Norway dari Sweden, Martin Sjogren berkata, beliau menjangkakan peningkatan selepas ini ketika kebanyakan pemainnya yang berpangkalan di negara sendiri berpeluang untuk bermain dengan kelab lebih ternama Eropah.

“Kami akan membentuk pasukan ini. Tiga perempat daripada pasukan kami akan bermain dengan kelab besar di Eropah. Jika kami dapat membentuk skuad dengan pemain terbaik di Eropah, kami pasti boleh bersaing di tahap ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 7:34 AM