SYED Saddiq (empat dari kanan) bergambar bersama penaja selepas majlis MOU Program Bola Sepak Negara antara MSN dan Asia Pacific Sports, Kool Sport dan Regent International School. - FOTO Owee Ah Chun
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

MALAYSIA akan meneruskan cadangan membida hak penganjuran bersama Piala Dunia FIFA 2034 dengan serius sekalipun China membida penganjuran acara bola sepak terbesar dunia itu 2030.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat kabinet kelmarin.

Katanya, pendirian kerajaan jelas malah mendapat sokongan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku penyokong tegar dan penggerak bola sepak negara serta Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pendirian rasmi kerajaan akan tetap teruskan bidaan ini dengan serius sebab perkara ini dibangkitkan pada mesyuarat pemimpin ASEAN dihadiri Perdana Menteri baru-baru ini.

"Cuma kita faham, jika China menang bidaan Piala Dunia 2030, maknanya kita perlu tunggu minimum 2038.

“Tapi kita akan cuba yang terbaik. Pada masa sama kita perlu berhubung dengan pihak China untuk mengetahui status hasrat mereka itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Pembangunan Bola Sepak antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Asia Pacific Sports, Kool Sport serta Regent International School di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 6:00 PM