KOGILESWARAN (kanan) berharap dapat beraksi sekali lagi menentang Perak pada separuh akhir kedua Piala FA.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

PENYERANG muda Pahang, R Kogileswaran teruja selepas menjaringkan satu gol ketika skuad itu tewas 2-5 kepada Selangor pada aksi Liga Super, malam tadi.

Bekas pemain Frenz United FC itu berkata, jaringan itu yang juga gol pertama dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) memberi motivasi untuk terus mempamer prestasi lebih mantap. "Saya berterima kasih kepada jurulatih (Dollah Salleh) kerana memberi kepercayaan dan disenaraikan dalam kesebelasan utama terutama mengetuai jentera serangan.

"Ia lebih bermakna kerana kali pertama disenaraikan selaku pemain utama dan dapat menghasilkan jaringan walaupun gagal menewaskan Red Giants.

"Biarpun kecewa kami tewas, peluang diberikan jurulatih memberi lebih keyakinan untuk mempamerkan aksi lebih baik," kata pemain berumur 21 tahun itu.

Ditanya peluang beraksi pada separuh akhir kedua Piala FA berdepan Perak di Ipoh, Sabtu ini, dia mengharapkan diberikan peluang untuk beraksi dalam saingan piala berprestij itu. Katanya, biarpun Dickson Nwakaeme dijangka kembali memperkuatkan jentera serangan bersama Lazaruz Kaimbi, peluang itu diharap akan berpihak kepadanya.

"Jika tidak diletakkan dalam kesebelasan utama, sekurang-kurangnya saya dapat diturunkan sebagai pemain gantian.

"Peluang seperti itu sangat penting bagi menambahkan lagi keyakinan diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 7:04 PM