FEDERER mahu memadam rekod Rosewall di Wimbledon. — FOTO Reuters
AFP

DUA puluh tahun selepas melakukan penampilan sulung, Roger Federer mengintai peluang memburu kejuaraan Wimbledon kali kesembilan dan tempat dalam sejarah sebagai pemain lelaki paling tua merangkul kejuaraan perseorangan Grand Slam.

Federer, yang akan berusia 38 tahun Ogos ini, sudah muncul pemain tertua memenangi perseorangan lelaki Wimbledon dalam era moden selepas menang pada 2017 pada usia 35 tahun.

Pemain Australia, Ken Rosewall berusia 37 tahun apabila dia menang Terbuka Australia pada 1972, satu jurang usia yang diharap Federer mampu dipecahkan apabila Wimbledon bermula Isnin ini.

“Saya suka berada di sini. Ia satu perasaan yang bagus. Saya mempunyai memori hebat. Semua wira saya menang di sini,” kata Federer, pemenang 20 gelaran utama.


KEMENANGAN Federer di Halle hujung minggu lalu petanda baik buatnya menjelang Wimbledon. — FOTO AFP

“Setiap kali saya kembali ke sini, saya cuba untuk menjadi seperti mereka.”

Bagaimanapun, di sebalik rasa ikatannya terhadap Kelab All England, perebutan untuk menokok trofinya di London menjadi semakin sukar.

Kejuaraan kelapan dan terakhir Wimbledon buatnya hadir selepas kemenangan mudah tiga set ke atas Marin Cilic pada final 2017.

Federer terlalu sukar digugat tahun itu, tidak kalah walau satu set sepanjang aksi dua minggu ketika pencabarnya tumbang satu persatu.

Kejayaan ketujuh Federer di Wimbledon hadir lima tahun sebelum itu dengan mengalahkan Andy Murray pada aksi final.

Enam kejuaraan pertamanya dicatat pada 2003, 2004, 2005, 2006, 2007 dan 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 12:08 PM