GOMES (kanan) anggap masa di Barca bagaikan ‘neraka’. — FOTO Agensi
Reuters

EVERTON mengikat Andre Gomes dari Barcelona, umum kedua-dua kelab itu awal pagi tadi selepas pemain tengah Portugal itu melengkapkan tempoh pinjaman di kelab Liga Perdana Inggeris itu musim lalu.

“Barcelona dan Everton bersetuju dengan perpindahan pemain Portugal, Andre Gomes. Jumlah yang dipersetujui bagi perpindahan ini adalah 25 juta euro (RM117 juta) termasuk tambahan lain,” menurut kenyataan Barca.

“Barcelona mengucapkan terima kasih kepada Andre Gomes kerana dedikasi dan komitmennya dan mengucapkan selamat berjaya buatnya pada masa depan.”

Gomes, 25, mengharungi dua musim mengecewakan di Barca susulan perpindahan dari Valencia pada 2016 dengan harga 35 juta euro (RM164 juta), melakukan hanya enam penampilan La Liga pada kempen keduanya.

Dia kemudian mendedahkan bergelut untuk menangani kritikan terhadap persembahan buruknya bersama Barca, memberitahu majalah Panenka masanya di kelab itu ‘berubah menjadi seperti neraka’ dan ada ketikanya dia tidak mahu keluar rumah.

“Saya amat gembira menandatangani kontrak bersama Everton – ia tidak sukar untuk diputuskan, ia keputusan mudah dan saya gembira melakukannya,” kata Gomes kepada saluran televisyen rasmi Everton.

“Tahun lalu satu pengalaman amat bagus buat saya. Saya hanya mahu menjadi sebahagian daripada sesuatu yang istimewa dan saya menemuinya di sini.”

Gomes pemain kedua meninggalkan Barca semalam selepas pemain pasukan simpanan Marc Cardona dijual kepada kelab La Liga, Osasuna dengan harga 2.5 juta euro (RM11.7 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 10:42 AM