Abu Samah. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


MALAYSIA menerima pengiktirafan tertinggi Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) apabila dianugerahkan hak menganjurkan Kursus Mekanik Level 1 peringkat Asia selama empat hari di Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab menjelaskan Malaysia adalah negara kedua di Asia selepas Korea Selatan, yang diberikan hak menganjurkan kursus membabitkan mekanik pasukan profesional.

“Saya sendiri terkejut apabila menerima tawaran UCI. Ini sempena UCI Solidarity Programme. Saya dimaklumkan UCI sudah bertanya kepada ACC (Konfederasi Berbasikal Asia) sebelum memberikan hak penganjuran untuk mengadakan kursus elit mekanik ini.

“Difahamkan ada beberapa negara lain termasuk Jepun, Kazakhstan, Iran dan Hong Kong berminat untuk menjadi negara penganjur kursus yang dijadual bermula Khamis ini. Malah, Korea Selatan juga berminat untuk menganjurkannya untuk kali kedua.

“Jadi saya gembira kerana Malaysia menerima pengiktirafan terbesar daripada UCI. Bukan mudah untuk meyakinkan UCI kerana kursus mekanik Level 1 ini sangat berkualiti,” katanya.

Sehingga kini, 11 negara seperti Jepun, Iran, Thailand, Myanmar, Indonesia, India, Singapura dan Malaysia mengesahkan penyertaan membabitkan 15 mekanik berpengalaman.

Selain lima mekanik tempatan, difahamkan dua pasukan benua negara, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) turut tidak melepaskan peluang menghantar mekanik mereka.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat ACC menjelaskan UCI menghantar Enrique Guerrero, seorang pakar mekanik ternama dunia kelahiran Switzerland.

“Dia seorang pakar mekanik UCI yang mempunyai pengalaman luas. Dia memahami selok-belok untuk menjadi seorang mekanik pasukan profesional termasuk Pro Tour.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 10:37 PM