Khairy Jamaluddin. FOTO Nik Hariff Hassan
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


KHAIRY Jamaluddin Abu Bakar menegaskan beliau tiada masalah sekiranya pencalonannya untuk bertanding jawatan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dibatalkan.

Menurutnya, beliau hanya menawarkan diri selepas Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin memaklumkan tidak mempertahankan jawatan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM pada 29 Jun ini.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, SM Nasarudin juga memberitahu tiada calon lain ingin bertanding ketika itu lalu memutuskan untuk menghantar borang pencalonan pada 15 Jun lalu.

"Apabila dia beritahu tidak mahu pertahankan jawatan, saya tidak fikir apa-apa. Selepas itu saya tanya siapa nak ganti, dia kata belum tahu siapa dan ada desas-desus individu nak bertanding.

"Jadi saya beritahu jika tiada siapa dapat sokongan sebulat suara, mungkin saya minat bertanding jawatan presiden. Dia gelak tapi saya kata saya serius.

"Saya juga dimaklumkan tempoh pencalonan masih lagi terbuka jadi saya serah borang. Ini yang jadi pertikaian dan saya serah pada pihak tertentu nak buat siasatan," katanya pada sidang media hari ini.

Khairy sebelum ini mendapat lampu hijau untuk mencabar calon Presiden MPM, Datuk Megat D Shahriman Zaharudin biarpun timbul keraguan berhubung isu kelewatannya menghantar borang pencalonan yang dikaitkan dengan campur tangan 'tangan ghaib' dalam MPM.

Mengulas dakwaan 'tangan ghaib' itu yang dikaitkan dengan MPM dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Khairy menafikannya.

"Macam mana tangan ghaib tu? Campur tangan Ketua Pengarah? Datuk Shapawi? Saya dah lama tak berhubung dengan beliau. Malah saya tidak beritahu pun pada beliau saya nak bertanding.

"Saya pun dah terbabit sukan ragbi OKU sejak Februari 2019. Dr Ang (Setiausaha Persekutuan Kerusi Roda Malaysia, Dr Ang Kean Koo) sahabat lama dan pernah jadi ketua kontinjen semasa saya menteri, minta saya bantu. Jadi saya difahamkan saya layak bertanding," katanya.

Khairy menegaskan dia tidak pernah meminta bantuan sesiapa, malah belum berkempen kepada mana-mana persatuan setakat ini.

"Sekiranya ada keputusan dibuat nanti bahawa pencalonan itu tidak sah atau sudah lewat, tidak mengikut tempoh ditetapkan dan sebagainya, saya tidak ada masalah. "Saya nak bertanding sebab rasa ada sedikit idea untuk menyumbang kepada MPM. Itu saja," katanya.

Menurut Khairy, dia masih berminat bertanding jawatan presiden dan berharap pertikaian berlaku dapat diselesaikan sebelum mesyuarat agung pada Sabtu ini.

"Kita tidak mahu berlaku AGM dan dibatalkan. Jadi itu saya serah kepada MPM yang sedia ada untuk buat apa saja mengadakan perbincangan dengan Persuruhjaya Sukan yang mengawal selia semua badan sukan.

"Saya rasa mereka ada masa cukup untuk buat ketetapan sama ada AGM ini dapat diteruskan, sama ada saya boleh bertanding atau tidak?

"Difahamkan bukan saya seorang hantar borang pada hari terbabit (15 Jun), ramai juga hantar, jadi nak buat keputusan kena adil.

"Semua yang hantar borang pada hari terbabit mesti dibatalkan, tapi jika nak bagi bertanding, semua kena dibolehkan bertanding," katanya.

Khairy Jamaluddin berkata, SM Nasarudin melakukan yang terbaik sebagai presiden khususnya dalam memperkemas urus tadbir MPM, dan berharap untuk meneruskan segala perancangan yang tidak sempat dilaksanakan jika memenangi pemilihan itu. Antara perancangannya adalah meneruskan Program Inspire I-talent untuk remaja OKU, memastikan penempatan kerjaya OKU selepas tamat karier sebagai atlet para dan berunding dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mewujudkan Sekolah Sukan Khas untuk atlet para.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:40 PM