Mejar Azhari Abdullah. FOTO NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


PENEMBAK para negara, Mejar Azhari Abdullah menyasarkan pingat tanpa mengira warna pada Sukan Para Menembak Dunia di Osijek, Croatia pada 22 hingga 31 Julai depan.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai hasil latihan rapi bersama jurulatih menembak, Zamil Ahmad Murad yang juga jurulatih bagi Kuala Lumpur.

Selain itu, berdasarkan rekod pencapaiannya sebelum ini berada di kelompok 10 terbaik dunia dalam sukan menembak para, sasaran itu bukan mustahil dicapai.

"Saya berlatih sudah lama dan sepanjang tahun dapat pelepasan daripada ATM (Angkatan Tentera Malaysia) untuk fokus bagi sukan menembak OKU (orang kurang upaya).

"Setiap hari sekurang-kurangnya empat jam saya berada di Lapang Sasar Menembak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi.

"Alhamdulillah setakat ini saya berjaya meraih kedudukan antara empat hingga tujuh dalam enam kejohanan menembak para dunia sejak 2011," katanya yang meraih pencapaian terbaik pingat gangsa Piala Ostrava di Republik Czech pada 2016.

Selain turut mencatat tempat keempat daripada 20 peserta di Kejohanan Menembak Dunia Persekutuan Sukan Orang Buta Antarabangsa (IBSA) 2016 di Olzstyn, Poland pada November 2016 dan tempat kelima di Pertandingan Menembak Antarabangsa Hannover pada 2018 di Hannover, Jerman.

Menurut Azhari lagi, sukan para menembak 'Air Rifle Prone dan Standing' kini lebih mencabar berbanding sebelum ini berikutan peraturan dan peralatan baru yang digunakan.

Katanya, di peringkat Asia, hanya Malaysia mempunyai atlet menembak para iaitu beliau sendiri dan adiknya, Deputi Superintendan Amir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:27 PM