Barisan pemain menjalani latihan di Akademi Cerezo Osaka di Osaka, Jepun.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


PELATIH Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) terpilih menjalani latihan bersama Akademi Cerezo Osaka di Osaka, Jepun bermula Ogos depan.

Mereka adalah Muhammad Haikarl Raja Muhammad Zahari dan Muhammad Danial Haiqal Mohd Shaipol dari Akademi Mokhtar Dahari serta Muhamad Afiq Norizan pula adalah pelajar Sekolah Sukan Negeri Melaka, Muhammad Farizzudin Adham Batcha dari Sekolah Sukan Negeri Selangor dan pelajar Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi, Anas Nadawi Shaharudin turut terpilih menjalani latihan di akademi terbabit.

Mereka yang terpilih itu adalah berdasarkan lima pemain terbaik dalam program ‘Asean Dream Project’ yang di anjurkan Kelab Bola Sepak Profesional Liga 1 Jepun, Cerezo Osaka.

Presiden Cerezo Osaka Hiroaki Morishima berkata, program itu bertujuan mencungkil bakat muda dengan lima pemain terbaik dari Malaysia akan di bawa ke kelab Cerezo Osaka untuk menjalani latihan serta diberi peluang beraksi bersama 10 orang lagi pemain terbaik dari Thailand dan Myanmar.

“Ada permintaan daripada pemain Malaysia yang beraksi pada tahun lalu untuk program ini diadakan sekali lagi bagi memberi peluang kepada bakat muda untuk menimba pengalaman di akademi kelab profesional Jepun.

“Saya amat berharap agar pemain yang tamat menjalani program ini, akan dapat pergi lebih jauh. Mereka juga boleh beraksi di Liga Profesional Jepun, bukan sekadar di Cerezo Osaka sahaja memandangkan ada pencari bakat yang sering mencari bakat terbaik dari Malaysia,” katanya, di sini.

Sebelum ini, penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin turut menjadi tumpuan kelab negara matahari terbit itu apabila mendapat tawaran untuk menjalani latihan bersama Kelab Cerezo Osaka yang beraksi di Liga Profesional 1 Jepun (JLeague).

Pemain muda berkenaan kemungkinan akan mengikuti jejak langkah Hadi Fayyadh yang kini beraksi bersama Fagiano Okayama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 11:34 PM