Saiful Merican. FOTO Zunnur Al Shafiq
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


"DAH lama saya tunggu untuk kembali bertarung selepas berehat lama akibat kecederaan. Tiap kali tonton pertarungan hati teringin untuk berlawan tapi terpaksa tunggu 'lampu hijau' daripada doktor," kata jaguh muay thai, Saiful Merican.

Dua tahun tidak beraksi dalam pertandingan profesional, atlet seni bela diri campuran (MMA) yang beralih ke muay thai berkata, dia teruja untuk bertarung dengan rakan senegara, Mohammed Mahmoud dalam kejohanan ONE: Masters of Destiny di Arena Axiata, Bukit Jalil, pada 12 Julai depan.

Katanya, sebaik menerima tawaran daripada One Championship, dia merujuk doktor pakar yang mengesahkan boleh bertanding.

"Saya terus tandatangan kontrak sebab teruja lama tidak bertarung depan penyokong Malaysia.

"Saya bermula sebagai petarung muay thai sejak 1998 dan ia memang kepakaran saya. Terima kasih One Championship kerana berjaya mengangkat seni bela diri ke tahap tertinggi," katanya dalam temubual hari ini.


Aksi pertarungan Saiful Merican. FOTO Agensi.

Menurut Saiful, cabaran Mohammed atau lebih dikenali 'Jordan Boy' sebagai atlet muda berbakat tidak dipandang mudah meskipun lawannya itu kurang berpengalaman.

"Kami tidak pernah bertarung. Dalam sukan ini kita tidak tahu siapa bakal lawan kita, bila One Championship tawar, terima saja.

"Bagi saya pertarungan ini boleh bantu dia timba pengalaman. Beza antara kami, saya lebih berpengalaman. Tapi sebagai orang yang lama tidak berlawan, saya berlatih 100 peratus dan akan beri tumpuan sama untuk semua lawan.

"Jika tidak, kita akan buat banyak salah kerana orang muda ini sentiasa 'lapar' untuk berlawan dan menang," katanya.

Saiful berkata, Mohammed juga seorang pertarung yang agresif serta berbahaya dari segi tendangan dan tumbukan.

"Saya kena lebih waspada dan menggunakan kelebihan pengalaman untuk kawal tekanan dalam gelanggang.

"Saya yakin bertarung kali ini dan berharap dapat tamatkan petarung lebih awal," katanya yang berlatih secara intensif di Thailand selama 10 hari bagi meningkatkan stamina dan teknik bertarung.

Selain Saiful dan Mohammed, dua lagi atlet MMA yang membawa cabaran Malaysia dalam kejohanan ini adalah Ev Ting yang berpengkalan di New Zealand dan Hayatun Najihin Radzuan.

Ev Ting akan bertarung dengan wakil Jepun, Daichi Abe bagi kategori 'lightweight' manakala Najihin atau lebih dikenali sebagai 'Shadowcat' akan menentang jaguh Filipina, Jomary Torres dalam bahagian 'atomweight'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 11:08 PM