Azroy (tengah) bersama pemenang angkatan clean and jerk di Terbuka Sarawak.
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


ATLET angkat berat negara Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad membuktikan dia badang terbaik negara apabila berjaya melakarkan rekod baru kebangsaan buat kali ketiga di Kejohanan Angkat Berat Terbuka Sarawak hari ini.

Kejayaan itu cukup bermakna buat atlet kelahiran Pahang yang disifatkan sebagai rezeki anak.

"Alhamdulillah ini yang dinamakan rezeki anak. Anak angkat yang diberi nama Nur Syamiatul Naila diamanahkan kepada saya untuk dijaga oleh seseorang.

"Anak ini memberi inspirasi kepada saya dan semangat untuk terus saya memburu lebih banyak kejayaan," katanya yang akan menamatkan zaman bujangnya Disember ini.

Turut dikenali sebagai Wafie dikalangan teman rapat, pemenang pingat emas temasya Komanwel Gold Coast dalam kategori 56 kilogram (kg) itu melakukan angkatan 137kg clean and jerk di Terbuka Sarawak sekali gus memadamkan rekod lama miliknya 136kg yang dilakukan di Kejohanan Asia di Ningbo, China April lalu.

Memandangkan kategori Wafie tidak dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, aspirasinya kini beralih kepada Kejohanan Dunia di Pattaya, Thailand yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 27 September depan.

Misinya kini adalah untuk melakar sejarah dalam arena angkat berat negara iaitu menjadi atlet angkat berat pertama meraih pingat di kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 10:34 PM