Undian dijalankan menerusi laman Facebook - Malaysian Athletics
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


BAHANG perebutan kerusi nombor satu dalam Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) semakin terasa dengan rata-rata peminat sukan itu mahukan perubahan dalam tampuk kepimpinan.

Undian dijalankan menerusi laman Facebook - Malaysian Athletics mendapati sebanyak 99 peratus mahukan tampuk pimpinan baru iaitu Datuk SM Muthu mengambil alih tugas presiden dari Datuk Karim Ibrahim.

Dalam ruangan komen Mrlzie Kassim menulis "Tukar jangan tak tukar... BN pun dah bertukar inikan pula KOM.

Murugan Ramasamy berkata "Kita perlu wajah baru" manakala Sitheravellu Sathasivam menulis " wajah lama dengan idea yang tidak berkembang dan perlu dirombak untuk memperbaiki sukan ini.

Apa yang terjadi dalam KOM ketika ini mengganggu pembangunan olahraga seterusnya menyebabkan penaja memikir dua kali untuk menjadi penaja."

"Di mana pelan pembangunan akar umbi di setiap negeri. Terlalu ketinggalan dan berharap keajaiban untuk bakat baru akan muncul.

"Kredibiliti Karim kini dipersoalkan dengan isu-isu panas terutamanya membabitkan kes doping sehingga dilucutkan jawatan oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pada Ogos 2018 kerana didapati bersalah melindungi amalan doping di Malaysia.

Pada mesyuarat agung tahunan (AGM) 30 Jun ini jawatan presiden KOM yang disandang Karim akan dicabar timbalannya, Muthu.

Karim mula memegang kerusi nombor satu KOM sejak 2014 dan akan dicabar Muthu bagi penggal 2019-2022.

Untuk rekod Karim tidak pernah tewas dalam perebutan jawatan di dalam KOM sepanjang beliau bertanding dalam badan induk itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 8:37 PM