Siti Zaharah menunggu kenyataan Presiden. FOTO fail NSTP
Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@mediaprima.com.my


“TUNGGU kenyataan Presiden (SM Nasarudin SM Nasimuddin).”

Itu respons diberikan Setiausaha Agung Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Siti Zaharah Abdul Khalid ketika diajukan pertanyaan mengenai perkembangan terkini Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM yang bakal berlangsung Sabtu ini yang kini memasuki fasa baharu yang semakin mencabar.

Persoalan baharu timbul apabila Kementerian Belia dan Sukan menerusi menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kelmarin bersedia mengarahkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) melakukan siasatan.

Perkembangan itu mungkin membawa kepada kemungkinan AGM itu akan ditangguhkan bagi memberi laluan PPS menyiasat ‘kepincangan’ yang mungkin berlaku.

Bagaimanapun ketika diajukan kemungkinan itu, Siti Zaharah enggan mengulas panjang mengenai perkara terbabit malah tidak tahu menahu mengenai episod baharu kemelut pemilihan jawatan nombor satu dan nombor dua majlis berkenaan.

“Saya tidak pasti, setakat ini masih belum terima apa-apa. Apa saja keputusan adalah terpulang kepada Presiden.”

SM Nasarudin sebelum itu mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan disandangnya sejak 2015 namun suasana bertukar ‘kecoh’ apabila MPM dikatakan meluluskan pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk merebut jawatan presiden badan induk itu walaupun lewat sehari menghantar borang pencalonan.

Ia membuatkan calon Presiden MPM, Datuk Megat D Shahriman Zaharudin yang lebih awal menghantar borang pencalonan mencabar Khairy supaya bersikap 'gentleman' dan bersaing secara sihat untuk jawatan itu.

Khairy sebelum itu mendapat lampu hijau untuk mencabar Megat biarpun timbul keraguan berhubung isu kelewatannya menghantar borang pencalonan yang dikaitkan dengan campur tangan 'tangan ghaib' dalam MPM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 7:03 PM