Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin puji Goulon
Shahrinnahar Latib
am@hmetro.com.my


YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyatakan kekaguman terhadap jaringan pertahanan import Pahang, Herold Goulon pada aksi pertama separuh akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Menurut jurugambar rasmi istana, Abdul Rahim Othman, perkara itu dinyatakan Sultan Abdullah ketika berjalan menuju ke pesawat peribadi di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, semalam.

Katanya, baginda turut menyatakan bahawa jaringan itu layak dihantar bagi pencalonan Anugerah Puskas 2019 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

"Ketika koi (saya) berjalan mengiring Yang di-Pertuan Agong menuju pesawat, baginda sempat titah tanya koi, 'Haji Rahim, Kamu tengok bola semalam?.

"Tuanku terus titah gol ketiga (perlawanan) memang cantik sambil mengangkat ibu jari.

Baginda turut bertitah gol berkenaan layak dicalonkan bagi Anugerah Puskas," katanya menerusi status yang dimuat naik dalam Facebook miliknya di sini, semalam.

Abdul Rahim berkata, beliau hanya sempat berbual sedikit sahaja dengan Sultan Abdullah kerana tidak mahu melanggar protokol Diraja.

"Tidak sangka Seri Paduka Baginda masih mengikuti perkembangan bola sepak tempatan. Begitulah minatnya baginda terhadap sukan bola sepak.

"Walaupun Tuanku sentiasa sibuk selaku ketua negara sejak menggalas tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, namun baginda dan bola sepak tidak boleh dipisahkan," katanya.

Pada perlawanan itu, Pahang menewaskan Perak 3-1 dan menyaksikan Tok Gajah meraih bekalan selesa ke Stadium Perak, minggu depan.

Selepas turut menjaringkan gol pembukaan Tok Gajah pada minit ke-11, Goulon yang beraksi di bahagian pertahanan menyumbat jaringan kedua peribadinya dalam aksi berkenaan pada masa kecederaan.

Sekali pun sepakan percuma yang dilakukannya jauh di tepi garisan tengah padang, ia tidak menghalang bola berkenaan melambung tinggi menuju ke arah gawang yang gagal dijangkau penjaga gol Bos Gaurus, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Jaringan pemain kelahiran Perancis itu pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA membuatkan pemain Perak terkedu yang menyaksikan gawang mereka bolos buat kali ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 5:28 PM