AMANDINE menjaringkan gol kemenangan Perancis pada masa tambahan di Stade Oceane, Le Havre, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

TUAN rumah Perancis layak ke suku akhir Piala Dunia Wanita awal pagi tadi ketika jaringan Amandine Henry pada masa tambahan mengesahkan kemenangan ke atas Brazil untuk mengiringi England, yang menyingkirkan Cameroon pada perlawanan penuh tegang.

Perancis terdesak untuk mengikut jejak langkah pasukan lelaki mereka dan menjuarai Piala Dunia buat kali pertama di laman sendiri.

Mereka mengatasi Brazil 2-1 selepas masa tambahan pada aksi pusingan 16 terakhir di Le Havre terima kasih kepada kapten Amandine, yang merembat masuk susulan sepakan percuma Amel Majri pada minit ke-106.

Les Bleues mara ke suku akhir di Paris hujung minggu ini, satu perlawanan sukar berdepan juara bertahan Amerika Syarikat, jika pasukan lawan mengalahkan Sepanyol awal pagi esok.


THAISA (kanan) meraikan gol penyamaannya yang memaksa masa tambahan di Le Havre. — FOTO AFP

“Ia amat tegang, terlalu tegang menentang pasukan hebat. Kami memberikan segala-galanya dan tidak berputus asa,” kata jurulatih Perancis, Corinne Diacre.

Perancis dinafikan gol pembukaan pada babak pertama apabila tandukan Valerie Gauvin dibatalkan susulan reviu VAR kerana kekasaran terhadap penjaga gol Brazil, Barbara, namun Valerie menyudahkan umpanan Kadidiatou Diani untuk membolehkan tuan rumah mendahului tujuh minit selepas rehat.

Bagaimanapun Brazil bangkit dan tandukan Cristiane terkena palang sebelum Thaisa menjadikan kedudukan 1-1 selepas sejam, jaringan itu pada awalnya dibatalkan kerana Debinha didakwa ofsaid.

Perancis mungkin bertemu England pada separuh akhir, dengan anak buah Phil Neville mara ke suku akhir selepas menang 3-0 ke atas Cameroon di Valenciennes.


PEMAIN Cameroon membantah keputusan pengadil Qin Lang dari China ketika menentang England. — FOTO EPA

Gol menerusi kapten Steph Houghton, Ellen White – gol keempat pada kejohanan kali ini – dan Alex Greenwood di Stade du Hainaut membantu England ke pusingan berikutnya bertemu Norway.

Namun aksi pusingan 16 terakhir itu akan lebih diingati kerana bantahan keras pemain Cameroon terhadap beberapa keputusan pengadil, satu ketika mereka mengancam untuk meninggalkan padang.

“Saya menyaksikan 90 minit permainan bola sepak di sana dan berasa malu – bangga dengan sikap pemain saya sendiri dalam suasana yang tidak pernah saya lihat di padang bola sepak sebelum ini dan terlalu malu dengan perangai pemain lawan,” kata Neville.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 12:17 PM