MESSI (tengah) melarikan bola daripada direbut pemain Qatar, Almoez Ali (kiri) di Arena Gremio, Porto Alegre, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

ARGENTINA akan tampil dengan permulaan baharu pada Copa America selepas mengelak aib dengan kemenangan 2-0 ke atas Qatar awal pagi tadi yang membolehkan mereka mara ke peringkat kalah mati, kata pemain bintang Lionel Messi.

Gol sumbangan rakan serangan ikon Barcelona itu, Lautaro Martinez dan Sergio Aguero cukup untuk melonjak Argentina dari tangga tercorot Kumpulan B ke tangga kedua dan layak ke suku akhir menentang Venezuela di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, awal pagi Sabtu ini.

“Perkara penting adalah untuk menang dan terus bersaing dalam Copa, untuk melepasi peringkat kumpulan,” kata Messi, yang menyambut hari jadi ke-32 hari ini.

“Ini satu galakan besar mengenai apa yang akan mendatang... satu lagi Copa bermula sekarang. Kemenangan ini memberikan kami kekuatan dan berkembang sebagai pasukan.”


DUA penjaring gol Argentina, Martinez (kiri) dan Aguero. — FOTO AFP

Persembahan Argentina jauh daripada sempurna namun ia tetap mencukupi untuk menyingkirkan Qatar, yang menghadiahkan mereka gol pembukaan selepas empat minit apabila Bassam Hicham melakukan hantaran silang di depan kotak penaltinya sendiri dan singgah di kaki Martinez.

Messi mengakui ada tekanan dan debaran dalam kem La Albiceleste.

“Sukar bermain dalam perlawanan sebegini kerana kepentingannya, tanggungjawab untuk menang dan kebimbangan tersingkir.

“Tapi kami bermain baik dan mara, itulah yang diambil kira.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 10:51 AM