CUELLAR (tengah) menjaringkan gol tunggal kemenangan Colombia di Salvador, Brazil, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

COLOMBIA semakin yakin berdepan suku akhir Copa America selepas memenangi Kumpulan B dengan rekod sempurna apabila mengatasi Paraguay 1-0 di Salvador, Brazil awal pagi tadi, kata penjaring gol tunggal Gustavo Cuellar.

Jurulatih dari Portugal, Carlos Queiroz melakukan 10 perubahan pemain dalam pasukannya ketika Colombia sudah mengesahkan tempat sebagai juara Kumpulan B, namun pasukan kedua itu ternyata terlalu kuat buat Paraguay, sekalipun satu gol dan penalti dibatalkan pada babak kedua oleh VAR.

“Kami mencipta banyak peluang berbahaya, kami di landasan tepat dan kami layak ke pusingan berikutnya dengan penuh keyakinan,” kata Cuellar, jaringannya pada minit ke-31 dari sudut sukar melepasi celah kaki penjaga gol Roberto Fernandez.

Colombia sudah menjuarai kumpulan itu selepas kemenangan ke atas Argentina (2-0) dan pasukan jemputan Qatar (1-0), mengakhiri kempen peringkat kumpulan tanpa dibolosi sebarang gol.


PEMAIN Colombia, Juan Cuadrado (kanan) bersaing dengan pemain Paraguay, Oscar Romero di Arena Fonte Nova, pagi tadi. — FOTO EPA

Namun hampir semua pemain yang bermula menentang Paraguay hanya memanaskan bangku simpanan bagi dua perlawanan itu.

“Kami bermain dengan baik. Tidak mudah datang ke sini dan tidak bermain, kemudian beraksi satu perlawanan penting,” ujar Cuellar.

“Tapi bila anda mempunyai pemain yang amat bagus, mudah untuk bermain.”

Colombia akan bertemu naib juara Kumpulan C pada suku akhir, kemungkinan antara Uruguay atau Chile – sekalipun Jepun masih berpeluang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 7:44 AM