MARTINEZ (dua kanan) membuka tirai jaringan Argentina menentang Qatar di Arena do Gremio, Porto Alegre. — FOTO EPA
AFP

GOL sumbangan Lautaro Martinez dan Sergio Aguero pada setiap babak membantu Argentina menang 2-0 ke atas Qatar di Porto Alegre, Brazil awal pagi tadi sekali gus layak ke suku akhir Copa America.

Colombia yang sudah layak mengalahkan Paraguay 1-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan B untuk turut memastikan tempat buat Peru, yang berakhir di tangga ketiga Kumpulan A dan Uruguay, yang kini di tangga kedua Kumpulan C.

Argentina, yang muncul naib juara Kumpulan B di belakang Colombia, akan bertemu Venezuela di stadium ternama Rio de Janeiro, Maracana pada suku akhir, manakala Qatar yang tampil kali pertama sebagai pasukan jemputan terkeluar.

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni memanggil semula penyerang Manchester City, Aguero bagi perlawanan genting itu manakala Martinez mengekalkan tempatnya sekali gus mengetepikan Angel Di Maria.


AGUERO (kanan) menyumbat masuk gol kedua Argentina. — FOTO Reuters

Martinez tidak menunggu lama apabila pemain Qatar, Bassam Hisham melintangkan bola di depan kotak penaltinya sendiri dan bola singgah di kaki penyerang Argentina itu, yang merembat masuk selepas hanya empat minit.

“Gol hadir awal dan ia membolehkan kami menangani perlawanan dengan penuh ketenangan,” kata Martinez.

“Ada tekanan, kami mesti menang untuk layak dan kami gembira. Kini kami perlu bekerja keras lagi.”

Aguero kemudian meledak gol kedua pasukannya dengan melepasi dua pemain pertahanan sebelum meledak masuk ke penjuru bawah gol lapan minit sebelum tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 7:19 AM