Torres anggap Gerrard (kanan) mengubah cara permainannya. FOTO REUTERS
Agensi

FERNANDO Torres memuji bekas rakan sepasukan Liverpool, Steven Gerrard sebagai pemain yang meningkatkan permainannya 'ke arah dimensi berbeza'.

Pemain Sepanyol itu mengesahkan dia akan menamatkan karier bermain selama 18 tahun pada Ogos ini.

Bekas penyerang Liverpool dan Chelsea itu yang kini bermain di Jepun bersama kelab Sagan Tosu selepas meninggalkan Atletico Madrid tahun lalu, mengumumkan persaraannya, minggu lalu.

Memberitahu sidang akhbar di Tokyo, semalam, pemain berusia 35 tahun itu turut ditanya siapa pemain yang memberi impak besar terhadapnya.

Torres pernah beraksi bersama pemain tengah ‘master’ seperti Andres Iniesta dan Xavi untuk pasukan kebangsaan Sepanyol tetapi Gerrard ternyata memberi lebih banyak kesan kepadanya permainannya.

Dia berkata: “Saya selalu mengatakan pemain terbaik saya pernah bergandingan adalah Steven Gerrard.

“Saya dapati dia adalah pemain yang melengkapkan permainan saya.

“Tahap mental dan aksi saya mencapai satu dimensi berbeza setiap kali berada di padang bersamanya.

“Ia pengalaman menyeronokkan sepanjang tiga tahun setengah beraksi bersama Steven dan saya mahu kembali semula kepada detik itu. Biar seminit pun, jadilah.”

Torres berkata dia mahu menggantung butnya dengan fikiran yang jelas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 12:17 AM