Joo Ven (kiri) tewaskan June Wei dalam saingan dua set di Ipoh. FOTO NSTP/MUHAIZAN YAHYA
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my


TUMPUAN hangat peminat dan pemain lawan tidak akan memberi bebanan buat pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven malah mengakui dahagakan lebih banyak kejuaraan sebaik merangkul kejuaraan sulung peringkat senior di Siri Antarabangsa Malaysia di Ipoh, hari ini.

Selepas Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraan, Joo Ven menjelaskan bahawa tekanan bakal terarah kepada pemain lain seperti dirinya, Lee Zii Jia, Chem June Wei dan Leong Jun Hao namun dia sudah buktikan bahawa hanya fokus serta kerja keras akan dibalas dengan kejayaan.

Menurut pemain berusia 24 tahun itu, sebaik menamat kemarau merangkul kejuaraan antarabangsa itu, dia sudah bersedia untuk berdepan segala cabaran walaupun sedar harap yang digalasnya sangat berat.

"Selepas ini saya mahu memenangi kejohanan lebih besar dan mahu ranking saya terus meningkat, seterusnya membuka peluang untuk saya beraksi di peringkat lebih tinggi," katanya kepada Arena Metro.

Joo Ven yang juga berjaya meraih kejuaraan kebangsaan tahun ini, berjaya menumpaskan rakan senegara, June Wei 21-13, 22-20 di Arena Badminton Perak.

Kali terakhir pemain ranking ke-66 dunia ini merasai nikmat kejuaraan ialah pada 2012 di Siri Antarabangsa Thailand tatkala ketika itu dia baru berusia 17 tahun.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, sudah lama tidak menang aksi antarabangsa. Saya harap ini permulaan yang baik dan akan berusaha lagi untuk mencapai kejayaan lain pada masa akan datang.

"Dalam aksi itu, saya dan June Wei menunjukkan kualiti permainan yang baik namun di saat-saat akhir set kedua saya lebih fokus untuk merangkul kejuaraan ini," kata pemain kelahiran Selangor itu.

Pemain tangan kidal ini lebih banyak merangkul tempat kedua sebelum ini termasuk di Kejohanan Remaja Asia 2012 (kalah kepada Kento Momota), Siri Antarabangsa Malaysia 2015 (kalah kepada Khosit Phetpradab), Terbuka Scotland 2016 (kalah kepada Anders Antonsen), Siri Antarabangsa Poland (kalah kepada Lee Zii Jia) dan Terbuka Hyderabad 2019 (kalah kepada Sameer Verma).

Bekas pemain perseorangan wanita negara, M Thinaah juga kali pertama merangkul kejuaraan antarabangsa sebaik bertukar ke bahagian beregu wanita apabila dia dan Pearly Tan mengejutkan pilihan utama dari Indonesia, Febriana Kusuma-Ribka Sugiarto 21-16, 11-21, 21-18.

Hasrat perseorangan wanita negara, Eoon Qi Xuan untuk merangkul kejuaraan pula tidak kesampaian apabila kalah kepada Sri Fatmawati (Indonesia) 19-21, 8-21.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 7:38 PM