LIONEL Messi Maier menanti penuh sabar untuk bertemu idolanya, Lionel Messi di Porto Alegre. — FOTO AFP
AFP

LIONEL Messi sudah bermain bola sepak sejak dia lahir namun kini dia berharap untuk memenuhi impiannya: bertemu pemain yang sama nama dengannya dan pemenang Ballon d’Or lima kali.

Anak kecil berusia enam tahun dari Alvorada, pinggir bandar Porto Alegre, menanti di pintu masuk Stadium Beira Rio di samping ibunya Lisiana Maier, berharap untuk bercakap dengan bintang Barcelona dan Argentina, Messi.

Dia menyarung jersi Barcelona dan but dengan tertera nama Messi.

“Namanya Lionel Messi. Dia suka bola sepak dan amat mengagumi cara Lionel bermain. Kami menyanjungnya jadi kami menamakan anak kami sempena namanya,” kata Lisiana.

Argentina bertemu pasukan jemputan Qatar pada Copa America di Porto Alegre awal pagi esok bagi pertemuan mesti menang yang mana pasukan kalah pulang awal malah pemenangnya belum terjamin layak ke peringkat kalah mati.

Keluarga Maier mungkin tidak mempunyai peluang lain untuk memperkenalkan anak lelaki mereka kepada pemain itu.

“Ketika mengandung lagi, dia sudah menendang bola dalam perut saya,” kata Lisiana.


MESSI (tengah) berlatih dengan rakan sepasukannya di Stadium Beira Rio, Porto Alegre. — FOTO Reuters

Pemain muda Brazil itu “mempunyai bakat luar biasa, ketenangan bagaikan Messi,” namun dia tidak menggunakan kaki kiri seperti idolanya.

Malah, Lisiana melatihnya untuk menggunakan kedua-dua kakinya, meningkatkan permainannya sebagai pemain di sebuah kelab tempatan.

Namun, ia mungkin cerita tanpa penamat gembira buat Lionel Messi Maier.

Seperti kanak-kanak Brazil dan Argentina yang menanti untuk melihat kelibat wira mereka, dia mungkin pulang penuh kecewa.

Keluarga Maier juga tidak boleh menyaksikan perlawanan secara langsung ketika aksi Kumpulan B Copa America di Stadium Beira Rio awal pagi esok.

Tiket perlawanan terlalu mahal dan keluarga itu terpaksa memilih antara “makan atau pergi menonton perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 1:34 PM