MACHIS (dua kanan) menanduk masuk gol pertama melepasi penjaga gol Bolivia, Carlos Lampe di Stadium Mineirao, Belo Horizonte. —FOTO AFP
Reuters

DUA gol menakjubkan penyerang Darwin Machis membantu Venezuela menempah tiket ke suku akhir Copa America dengan kemenangan selesa 3-1 ke atas Bolivia awal pagi tadi, layak sebagai naib juara Kumpulan A di belakang Brazil.

Machis menyuntik permulaan sempurna Venezuela apabila menanduk masuk seawal minit kedua, menjaringkan gol pertama mereka pada kejohanan itu selepas dua keputusan seri tanpa jaringan menentang Peru dan tuan rumah Brazil.

Machis kemudiannya menjaringkan gol mengagumkan pada minit ke-55 untuk mengukuhkan kedudukan pasukannya, meluru dari sayap kiri susulan serangan balas pantas sebelum menggelecek tiga pertahanan dan merembat masuk dari luar kotak penalti.

Bolivia membalas satu gol pada minit ke-83 menerusi Leonel Justiniano namun harapan mereka untuk menyamakan kedudukan musnah apabila Josef Martinez melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol ketiga Venezuela tiga minit kemudian.


MARTINEZ (kiri) melepasi kawalan pemain Bolivia, Marcelo Martins. — FOTO Reuters

Venezuela menghuni tangga kedua Kumpulan A dengan lima mata, Brazil muncul juara dengan tujuh mata, dengan Peru di tangga ketiga meraih empat mata dan Bolivia di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Venezuela layak ke suku akhir Copa America dalam empat daripada lima penampilan terakhir mereka dengan pencapaian terbaik hadir pada 2011 apabila mara ke separuh akhir namun tewas di tangan Paraguay menerusi penentuan penalti selepas seri 0-0.

Mereka akan bertemu naib juara Kumpulan B pada suku akhir, sama ada Argentina, Qatar atau Paraguay, yang beraksi perlawanan terakhir mereka awal pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 8:16 AM