MEGAT D Shahriman (berdiri, kanan) beramah mesra dengan tetamu pada majlis rumah terbuka Aidilfitri MASCA di Kompleks Sukan Bukit Kiara, semalam.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Be a gentleman.” Itu reaksi pantas calon Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Megat D Shahriman Zaharudin kepada pihak yang didakwanya tidak mengikut peraturan perlembagaan untuk bertanding pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu, 29 Jun ini.

Megat yang juga Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) tanpa berselindung kecewa dengan apa yang berlaku terutama membabitkan pencabarnya yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Nak bertanding... itu hak semua orang tetapi ia perlu mengikut peraturan. Kalau tidak, kita gagal memberi imej yang baik kepada semua orang.

“Saya pun kena ikut peraturan. Kalau tidak saya juga tidak layak bertanding,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka MASCA, semalam.

Meskipun sudah disahkan layak bertanding, pencalonan Khairy hangat diperkatakan kerana beliau didakwa menghantar borang pencalonan sehari selepas tarikh akhir ditetapkan iaitu 14 Jun.

Pencalonan Khairy juga menimbulkan persoalan mengenai statusnya sama ada beliau anggota dalam mana-mana persatuan sukan di bawah MPM kerana perlembagaan badan itu menyatakan calon bertanding perlu menjadi anggota persatuan dan dicalonkan persatuan sukan di bawah badan induk itu.

Namun, pencalonan Khairy diterima selepas beliau disahkan menjawat jawatan Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia yang dilantik pada AGM persatuan itu, awal tahun ini.

Sementara itu, Megat juga mengaku tidak gentar bertemu Khairy yang dilihat selaku calon pilihan untuk memenangi kerusi nombor satu MPM.

“Saya tak ada rasa kecut atau takut. Kalau kalah pun tak apa tapi sebagai calon anda perlu menunjukkan contoh yang baik.

“Biarlah dia (Khairy) jadi calon pilihan, kita ‘underdog’. Saya rasa setiap orang ada rekod masing-masing. Kalau dia menang, biarlah. Kalau yang ‘underdog’ menang, maka menanglah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 8:01 AM