KESILAPAN Gallese membolehkan Firmino (kanan) meledak gol pada babak pertama di Sao Paulo. — FOTO Reuters
AFP

PENJAGA GOL Peru, Pedro Gallese melakukan kesilapan dahsyat ketika Brazil memastikan muncul juara kumpulan pada Copa America awal pagi tadi dengan kemenangan besar 5-0 di Sao Paulo.

Jaringan Casemiro (minit ke-12), Roberto Firmino (m-19), Everton (m-32), Dani Alves (m-53) dan Willian (m-90) menyaksikan Selecao muncul juara Kumpulan A dan bermain aksi suku akhir di Porto Alegre, kemungkinan besar menentang musuh tradisi mereka Argentina.

“Kami sedar kami akan layak juga kerana kami bekerja keras,” kata kapten Alves kepada TV Globo.

“Dengan kemenangan sebegini kami berjaya menggembirakan penyokong. Apabila kami bersatu, kami berasakan tenaga positif,” katanya, secara tidak langsung menyentuh mengenai ejekan diterima pasukan itu dalam dua aksi pertama peringkat kumpulan.


ALVES (kiri) menjaringkan gol keempat Brazil di Arena Corinthians. — FOTO AFP

Ketika Peru ketinggalan 0-1, kesilapan bodoh Gallese menyaksikan gol Firmino sekali gus menyukarkan mereka untuk terus melawan apabila akhirnya dibelasah.

Peru, yang berakhir di tangga ketiga dengan empat mata, kini perlu menunggu dengan penuh debaran apa yang akan berlaku dalam dua lagi kumpulan awal pagi esok dan awal pagi Selasa ini untuk mengetahui sama ada mereka layak ke peringkat kalah mati sebagai satu daripada dua pasukan tangga ketiga terbaik.

Belum pernah sebelum ini sejak Copa America menggunakan format 12 pasukan pada 1993 dengan lapan pasukan layak ke suku akhir, pasukan yang meraih empat mata gagal meneruskan kemaraan.

Gallese bagaimanapun mengelakkan Peru daripada dibelasah setengah dozen apabila dia menyelamatkan sepakan penalti Gabriel Jesus pada masa kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 7:53 AM