PERBALAHAN Karim Ibrahim bersama Muthu semakin ‘panas’ apabila kedua-dua pihak saling mencabar.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: ‘Perang’ antara Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim dengan timbalannya, Datuk S M Muthu nampaknya makin ‘panas’ apabila kedua-dua pihak saling mencabar.

Selepas dikatakan tidak berkredibiliti memimpin kesatuan, Muthu mempertahankan diri dengan memberikan beberapa hujah berfakta.

Katanya, sepatutnya kredibiliti Karim dipersoal apabila tidak pernah dikenakan tindakan oleh kerajaan selepas terpalit beberapa kes doping membabitkan enam atlet yang melarikan diri daripada ujian doping dan atlet negara positif doping di Sukan SEA 2011, Palembang Indonesia.

“Kes doping itu memalukan negara di Sukan SEA dan dibawa ke mahkamah, namun dia terlepas dan orang lain tidak bersalah digantung 10 tahun. Inikah kredibiliti seorang presiden?” katanya dihubungi semalam.

Muthu mencabar Karim bagi jawatan presiden KOM pada Mesyuarat Agung Tahunan badan induk sukan itu pada 30 Jun ini.

Untuk rekod, Karim dipalit kontroversi bersama bekas jurulatih olahraga negara, Harun Rasheed pada 2011 apabila didakwa menjadi dalang isu enam atlet melarikan diri daripada ujian doping untuk ke Bulgaria dengan alasan menjalani latihan di sana.

Ekoran kejadian itu, Harun digantung 10 tahun oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berkuat kuasa 12 September 2011.

Jawatan Karim sebagai Ahli Majlis Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pula dilucutkan oleh badan induk sukan dunia itu selepas media Jerman, ARD menyiarkan dokumentari pada Mac 2016 mendakwa beliau melindungi amalan doping di Malaysia.

Sementara itu, Muthu turut menafikan dakwaan Karim berkaitan isu gagal mencari penaja untuk KOM dan membelakangkan Persatuan Olahraga Selangor (POS) apabila bertanding merebut jawatan presiden.

“Saya ingin tegaskan beliau tidak beri peluang kepada kami (cari penaja). Dia yang menguruskan segala berkaitan akaun dan dana. Macam mana kami nak bekerja? Itu sebab kami nak ‘buang’ beliau.

“Selain itu, tidak timbul isu saya sebagai presiden tidak maklumkan ahli majlis POS mengenai hasrat bertanding seperti dalam peraturan persatuan. Jika orang lain di bawah POS jika nak bertanding perlu dapat kebenaran kami,” katanya.

Beliau turut mendakwa Karim sendiri melakukan perkara sama apabila bertanding jawatan Persatuan Olahraga Asia (AAA) pada Mesyuarat Agung Tahunan AAA di Doha, Qatar.

“Jika dicari banyak lagi hal akan terbongkar tapi saya tidak mahu buka aib KOM,” ujarnya.

Mengenai kenyataan Karim yang bersedia melepaskan jawatan jika bekas presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim mencabarnya bagi jawatan presiden, Muthu mengatakan perkara itu sepatutnya dinyatakan lebih awal lagi.

“Kenapa sekarang baru bercakap? Sepatutnya dari awal lagi. Ini penipu nombor satu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 8:30 AM