Chantha Bin mahu pertingkat jaringan. FOTO NSTP
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


SELEPAS meledak gol pertamanya musim ini ketika bertemu Perak Selasa lalu, pemain import Terengganu FC (TFC), Thierry Chantha Bin mengakui dia kini lebih berkeyakinan untuk membantu pasukannya memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Pemain Kemboja yang juga bekas pemain skuad remaja Perancis berusia 28 tahun itu mahu segera mengikis anggapan sering mempamer prestasi tidak konsisten setiap kali diturunkan.

Selain itu, Chantha Bin enggan dilabel sebagai pemain yang suka memilih posisi kegemarannya di bahagian tengah sebaliknya menerima apa jua posisi pilihan jurulatih.

"Pada setiap perlawanan, saya hanya memikirkan yang terbaik buat pasukan untuk memburu kemenangan kerana sedar mata pasukan kami kini semakin jauh berbanding pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim dan Pahang.

"Oleh itu saya sedia bermain di mana-mana posisi sama ada tengah atau pertahanan kerana saya mahu melakukan yang terbaik buat pasukan.

"Malah, saya kini lebih bersemangat terutama selepas berjaya menghasilkan jaringan pertama musim ini ketika menentang Perak Selasa lalu.

"Bagaimanapun, jaringan itu tidak cukup untuk membantu pasukan selepas tewas 1-3 kepada skuad juara Piala Malaysia musim lalu itu," ujar Chantha Bin.

Pada jendela kedua perpindahan pemain yang berakhir pada 29 Mei lalu, pemain yang memulakan kariernya bersama kelab RC Strasbourg dalam Liga Perancis itu hampir mengucap selamat tinggal, namun Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) membuat pusingan U apabila mengekalkan pemain kebangsaan Kemboja itu hingga akhir musim ini.

Bercakap mengenai tiga jaringan pasukan Perak melalui situasi 'set-piece' ketika aksi Selasa lalu, Chantha Bin mengakui kelemahan pasukannya adalah masalah ketinggian pemain.

"Kelemahan pasukan kami ialah saiz pemain yang rendah, ini terbukti ketika menentang Perak kami bolos tiga gol hasil daripada situasi 'set-piece' itu," katanya yang percaya rakan sepasukannya akan bangkit bertemu Kuala Lumpur pada 26 Jun ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 5:13 PM