Pemain AS Tobin Heath melakukan rembatan pada aksi Piala Dunia Wanita berdepan Sweden. FOTO EPA
AFP

AMERIKA Syarikat (AS) mencatat tiga kemenangan cemerlang dalam tiga perlawanan dalam saingan Piala Dunia Wanita awal pagi ini, dengan menewaskan Sweden 2-0 untuk berada di puncak kumpulan F, manakala jaringan lewat permainan oleh Ajara Nchout membantu Cameroon mara dalam kelompok 16 terbaik.

AS akan meneruskan saingan mempertahankan kejuaraan mereka menentang Sepanyol di Reims pada Isnin selepas kemenangan yang meletakkan mereka memperolehi 18 gol dalam kejohanan itu dan memecah rekod selama 24 tahun bagi jumlah jaringan di peringkat kumpulan yang dipegang Norway sebelum ini.

Lindsey Horan menjaringkan gol pembukaan selepas menerima hantaran Samantha Mewis seawal minit kedua perlawanan dan Tobin Heath membantu memastikan kemenangan AS dengan merembat bola hantaran Hedvig Lindahl yang terkena pemain lawan Jonna Andersson empat minit selepas separuh masa kedua bersambung.

Gol sendiri Jonna diselamatkan dengan tayangan VAR yang diteliti pengadil Anastasia Pustovoytova walaupun pemain gantian Carli Lloyd dilihat berada dalam kedudukan di barisan benteng pemain.


Lindsey Horan meraikan jaringan AS. FOTO REUTERS

Lloyd mengantikan pemain bintang Alex Morgan pada separuh masa kedua selepas pemain berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan, namun jurulatih AS, Jill Ellis belum pasti sama ada pemain berkenaan dapat cergas untuk aksi bertemu Sepanyol nanti.

“Alex mengalami kecederaan pada separuh masa pertama dan ia lebih kepada tindakan bijak mengenai perkara ini, dengan apa yang kami lakukan,” katanya.

“Ini adalah perlawanan kurang risiko kerana masih mempunyai pemain yang boleh beraksi pusingan berikutnya.

Sweden memulakan perlawanan dengan tujuh pertukaran daripada skuad yang menewaskan Thailand 5-1 sebelum ini dan empat pemain tampil buat pertama kali dan memberi kurang ancaman di barisan serangan.

Bagaimanapun, kekalahan itu bermakna mereka akan berdepan Kanada di Paris pada Isnin dan dijangka berdepan cabaran lebih mudah berbanding AS yang kemungkinan menentang pasukan seperti Perancis, England dan Norway dalam aksi seterusnya.

Jurulatih Sweden, Peter Gerhardsson mengakui dia tidak memikirkan perlawanan akan datang sebaliknya lebih memberi tumpuan kepada menamatkan saingan kumpulan di tempat pertama atau kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 8:22 AM