KARIM Ibrahim.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim menegaskan bersedia melepaskan jawatan atau menarik diri daripada bertanding pada mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk sukan itu jika ada calon berkaliber tampil menawarkan diri.

Menurutnya, setakat ini Timbalan Presiden KOM, Datuk S M Muthu tidak berkredibiliti untuk menggalas jawatan nombor satu itu.

Katanya, sebagai individu yang membawa masuk Muthu ke dalam KOM, beliau mengenali latar belakang dan kebolehan timbalannya itu.

“Kita kena fikir sebab bertanding ini bukan untuk keuntungan tapi lebih kepada membangunkan sukan secara keseluruhannya. Kalau semata-mata nak jawatan boleh tanding jawatan lain.

“Tapi jawatan presiden ini kena ingat. Saya sendiri tidak berhasrat untuk selamanya pegang jawatan dan jika ada individu yang benar-benar layak dan mampu menggalas tugas ini.

“Bukan sekadar bercakap nak buat sesuatu dan nak jawatan. Saya tahu latar belakang dan kebolehan anda, dan dalam konteks ini saya bertegas mempertahankan jawatan,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Beliau mendakwa kekurangan Muthu dari segi pentadbiran terserlah apabila tidak hadir mesyuarat tertentu seperti diarahkan termasuk dengan Kementerian Pendidikan Malaysia serta tidak membantu dari segi mencari penajaan untuk KOM.

“Sejak saya bawa dia (Muthu) masuk ke dalam KOM, sehingga kini satu sen pun tidak bawa duit penajaan. Seingat saya ada dua kali dia bagi baju-T korporat bila ada pertandingan, (sedangkan) saya dapatkan penajaan bernilai RM130,000 dari luar negara.

“Saya juga orang yang mencari tajaan bagi kesatuan ini. Sekarang duit ada, semua nak berebut jawatan. Saya berani cabar presiden, timbalan dan naib presiden yang bawa duit ke persatuan. Tiada. Namun, ketika Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Datuk Wan Hisham Wan Salleh ada bawa RM150,000 dari Affin Bank,” katanya.

Karim turut menyatakan dia bersedia untuk melepaskan jawatan kepada Muthu jika boleh menarik penajaan bernilai RM5 juta seperti dilakukannya untuk 10 tahun.

Sementara itu, beliau menafikan semua dakwaan Muthu bahawa dia bersikap diktator dan menjelaskan segala keputusan dan tindakan dicatat dalam minit mesyuarat KOM.

Karim mula memegang kerusi nombor satu KOM sejak 2014 dan akan dicabar Muthu bagi penggal 2019-2022.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 8:00 AM