PAUL Pogba.
AFP

PENGARAH sukan Juventus Fabio Paratici mengesahkan juara Itali itu kini memburu pemain tengah Paris Saint-Germain Adrien Rabiot tetapi menolak kemungkinan untuk mendapatkan bintang Manchester United Paul Pogba.

“Pogba dan Rabiot adalah dua pemain hebat,” kata Paratici mengenai dua pemain Perancis itu ketika sesi pengenalan jurulatih baharu Maurizio Sarri di Stadium Allianz hari ini.

“Pogba sudah bersama kami sejak bertahun lamanya, dia membesar di sini dan kami sukakannya tetapi dia pemain Manchester United,” kata Paratici.

“Rabiot adalah pemain cemerlang, banyak kelab mahukannya. Kami sedang memburunya juga beberapa sasaran yang kami fikirkan sesuai.

“Kami akan berbincang dengan Maurizio dan cuba mencari sasaran sesusai untuk pasukan yang ingin kami lihat.”

Sementara itu bekas pengendali Chelsea, Sarri berkata Gonzalo Higuain dijangka kembali ke Juventus selepas dipinjamkan ke Stamford Bridge.

“Saya belum bercakap dengan Gonzalo sejak meraikan kejayaan Liga Europa,” kata Sarri yang turut melatih pemain Argentina itu di kelab lamanya, Napoli.

“Saya perlu mendapatkan gambaran yang jelas selepas berpindah ke kelab ini. Dia pemain Juventus jadi bila dia kembali daripada bercuti, kami berpeluang untuk berbincang.

“Saya sukakan Pipita (Higuain) tetapi itu semua bergantung kepadanya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 10:54 PM