Nwakaeme (kanan) mahu bantu Pahang atasi Perak di tempat sendiri. FOTO NSTP
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


PENYERANG import Pahang, Dickson Nwakaeme percaya skuad itu tiada masalah untuk mengecewakan Perak apabila bertemu pada aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

Penyerang Nigeria itu berkata, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mencatat kemenangan selesa ke atas The Bos Gaurus.

"Sudah pasti saya dan rakan sepasukan mahu mencatat kemenangan selesa sebelum bertandang ke Ipoh pada 29 Jun.

"Memang kami sasarkan untuk layak ke final dan mempertahankan Piala FA yang dimenangi musim lalu.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh hilang fokus kerana mereka (Perak) juga berada pada prestasi terbaik ketika ini dan pasti ingin mara ke final," katanya.

Ditanya gandingan bersama Lazarus Kaimbi, Nwakaeme berpuas hati dengan aksi penyerang Namibia itu selepas dua perlawanan.

Katanya, corak permainan pasukan juga bertambah baik dan jentera serangan skuad Tok Gajah turut mempamer peningkatan sejak kehadiran Kaimbi bersama mereka.

"Kami berjaya menjaringkan gol awal ketika menewaskan PKNP FC 2-0, kelmarin dan diharapkan dapat mengulanginya lagi apabila berdepan Perak nanti.

"Kaimbi pemain bagus dan berpengalaman, dengan perlawanan ketiga bertemu Perak diharapkan dia akan mempamerkan prestasi lebih baik.

"Saya percaya sokongan padu daripada peminat Tok Gajah akan membantu kami mempertahankan piala FA musim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 2:50 PM