Penyerang England, Ellen White (tengah) meraikan jaringan menentang Jepun dalam aksi Piala Dunia Wanita. FOTO AFP
AFP

JURULATIH England Phil Neville berkata barisan pemainnya berada pada ‘tempat yang mereka mahukan’ tatkala dua jaringan Ellen White memastikan pasukan itu mara dalam kelompok 16 terbaik saingan bola sepak Piala Dunia Wanita menerusi kemenangan 2-0 ke atas Jepun, awal pagi ini.

Georgia Stanway memberi laluan kepada Ellen untuk jaringan pembukaan pada minit ke-14 sebelum Ellen sekali lagi menjaringkan gol kemenangan enam minit sebelum tamat perlawanan.

England yang tidak banyak melakukan rombakan sudahpun layak beraksi peringkat kelompok kalah mati sebelum ini, tetapi kemenangan di Nice memastikan mereka layak sebagai juara kumpulan D.

Ia juga membolehkan mereka membalas dendam selepas kecewa dikalahkan 1-2 dengan lawan yang sama pada peringkat separuh akhir empat tahun lalu.


Skuad England muncul juara kumpulan D. FOTO AFP

“Kami berjaya mendapatkan satu lagi kemenangan mutlak tanpa bolos, kami sudah bermain tiga dan menang dalam tiga perlawanan, dan kami berada pada tempat di mana kami mahukan, dalam kelompok 16 terbaik, dan bersedia untuk beraksi habis-habisan sehingga berakhir kejohanan,” kata Neville.

Elle kembali semula dalam kesebelasan pemain adalah antara satu daripada lapan pertukaran susulan kemenangan 1-0 ke atas Argentina dan memberi peluang kepadanya menjaringkan tiga gol dalam Piala Dunia kali ini.

“Saya sangat gembira untuk tampil dalam dua kesebelasan utama dan saya sangat berbesar hati untuk menyumbang kepada pasukan ini dalam apa cara sekalipun yang saya mampu di dalam dan luar padang, dan menjaringkan dua gola adalah impian menjadi kenyataan,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

“Ia adalah mengenai memenagi peringkat kumpulan, ia adalah apa yang kami lakukan dan sekarang kami akan berdepan pusingan kalah mati.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 11:54 AM