PKNS FC kelab legenda kata Rajagobal. FOTO NSTP
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


PKNS FC yang pernah dibarisi pemain legenda dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dilihat agak merugikan jika diturunkan ‘tanpa rela’ ke Liga Perdana sebagai kelab feeder.

Walaupun, pengendali PKNS FC Datuk K Rajagobal enggan mengulas mengenai pasukannya kemungkinan bakal menjadi kelab feeder kepada Selangor namun mengakui pasukan itu adalah antara platform melahirkan nama besar dalam arena bola sepak negara suatu ketika dahulu.

Katanya, beliau tidak mengetahui berkaitan perasaan pemain berkaitan perkara terbabit malah turut menafikan anak buahnya melakukan protes hingga menyebabkan pasukannya tewas kepada Kedah, semalam.

“Saya tidak tahu mengenai perasaan pemain berkaitan isu PKNS FC menjadi feeder kelab malah ia juga hanya tersebar menerusi akhbar dan media sosial saja.

“Saya juga menolak andaian bahawa kami tewas disebabkan ada pemain protes kerana perlawanan itu dilihat pemain sudah menunjukkan semangat juang tinggi.

“Saya cuma boleh katakan PKNS mempunyai sejarah dan legasinya sendiri dengan tujuh atau lapan pemain legenda seperti Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh dan ramai lagi termasuk saya sendiri pernah bermain untuk pasukan ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan PKNS FC menentang Kedah di Stadium Shah Alam.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan Selangor mungkin mengikut jejak langkah Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC apabila meletakkan kelab dibawah naungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebagai kelab feeder pada masa akan datang.

Hal itu bermakna Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) mungkin turun ke liga perdana sebagai kelab feeder berikutan perbincangan yang dijalankan berada pada fasa terakhir.

Amirudin berkata, keputusan terbabit akan diputuskan selewatnya bulan depan selepas mengadakan perbincangsn bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abd.

Jabar dan Presiden Selangor United, Firdaus Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 7:00 PM