Nuraini (kanan) ketika beraksi bersama skuad negara di Banbridge, Ireland Utara. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PENAMAT ketiga pada Pusingan Akhir Siri FIH bukan saja membuka kembali peluang skuad hoki wanita negara meraih tiket ke kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 malah ia turut membuka pintu rezeki kepada beberapa pemain negara.

Menerusi saingan di Banbridge, Ireland Utara itu, beberapa pasukan kelab di Eropah dikatakan berminat untuk mendapat khidmat pemain Malaysian Tigress.

Ketua jurulatih skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, antara pemain yang menjadi rebutan adalah Nuraini Rashid yang menerima tawaran dua kelab iaitu Butterfly Roma yang pernah diwakilinya sebelum ini serta pasukan utama Liga Perdana England, East Grinstead.

"Saya beritahu dia supaya memilih East Grinstead sebab liga di sana lebih kompetitif manakala slot miliknya di Butterfly Roma (Itali) mungkin boleh diberikan kepada pemain lain.

"Bagi saya dia sememangnya beraksi dengan sangat baik di Banbridge, malah dia boleh dinobatkan selaku pemain terbaik kejohanan. Tetapi bukan rezekinya," katanya.

Jelas Dhaarma, khidmat penyerang negara, Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti sekali lagi ditaih pasukan Jerman, Wespen Zehlendorfer.

"Ada beberapa lagi pemain lain yang turut menerima tawaran daripada kelab tertentu.

"Bagi saya sudah pasti ia satu perkembangan yang amat baik untuk pemain negara apabila mereka dapat menimba pengalaman beraksi di luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 5:42 PM