Kim Swee (kanan) tidak lagi mendapat khidmat Maloney kendali skuad B-23. FOTO NSTP
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


DATUK Ong Kim Swee bakal 'kehilangan' rakan karib yang juga penolongnya di skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney apabila bakal melatih skuad B-19 untuk menggantikan Bojan Hodak yang tidak disambung kontraknya berakhir bulan depan.

Menurut sumber rapat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pelantikan pengendali dari Australia itu kini diperingkat akhir dan akan diumumkan pada penghujung bulan ini atau selepas berakhirnya Kongres Tahunan FAM ke-55 pada 13 Julai ini.

"Memandangkan pengalaman luasnya ketika bersama ksuad B-23 dan skuad senior bersama Kim Swee beberapa tahun ini, beliau (Brad Maloney) adalah calon tepat mengisi tempat Bojan.

"Malah, FAM juga mahu falsafah permainan B-23 dapat dimulakan sedari B-19 di mana beliau pasti akan menerapkan falsafah yang sama ketika di bawah tunjuk ajar Kim Swee.

"Kesinambungan ini penting bagi memudahkan pembentukan skuad negara di masa depan apabila pemain muda ini kelak menyertai skuad b-23 nanti," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Pencapaian Maloney sebagai penolong jurulatih skuad B-23 cukup cemerlang apabila membantu Kim Swee memenangi pingat perak Sukan SEA 2017 dan layak buat pertama kali ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 di China tahun lalu.

Bekas pemain kebangsaan Socceroos itu turut pernah berada dalam barisan kejurulatihan Harimau Malaya selepas Kim Swee dilantik selaku pengendali menggantikan Dollah Salleh pada 2015.Malah, bagi memantapkan ilmunya dalam bidang kejurulatihan, Kim Swee dan Maloney dihantar menimba pengalaman dan pendedahan bersama pasukan utama QPR kendalian, Ian Holloway di Pusat Latihan QPR, Harlington pada 2017 lalu.

Bagaimanapun, ujian sebenar selaku jurulatih akan benar-benar teruji apabila bakal membawa cabaran negara di Kejuaraan AFF B-19 bulan depan di mana Malaysia adalah juara bertahan, sebelum beraksi dalam kelayakan Kejuaraan AFC B-19 pada September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 3:19 PM