Ronaldo Silva (dua kanan) meraikan gol kedua Perak menentang Terengganu bersama rakan sepasukan. FOTO NSTP
Farah Suhaidah Othman
sukanteam@nstp.com.my


JURULATIH Perak, Mehmed Durakovic mengakui skuadnya mampu meraih lebih banyak jaringan gol menentang Terengganu FC dalam aksi pusingan kedua saingan Liga Super 2019 di Stadium Perak, Ipoh malam tadi namun gagal memanfaatkan peluang terhidang.

Beliau cukup berpuas hati dengan corak permainan anak buahnya menang 3-1 ke atas skuad Penyu itu sekali gus melonjak kedudukan pasukan The Bos Gaurus (TBG) kini di tangga kelima liga.

Menurut Durakovic, pasukan TBG mampu menghasilkan empat atau lima jaringan gol daripada peluang yang dicipta namun beliau tidak mahu meletakkan kesalahan itu 100 peratus di bahu anak buahnya.


Mehmed akui Perak mampu jaring lebih banyak gol. FOTO NSTP

"Kita memperolehi banyak peluang terutama selepas seorang pemain pasukan lawan dilayangkan kad merah namun saya berpuas hati dengan jaringan tiga gol itu.

"Pemain Terengganu melakukan serangan di bahagian sayap namun kita tidak memberikan mereka ruang sebaliknya terus memberikan tekanan, pada dasarnya itulah perancangan (dalam) permainan, dan ia berkesan," katanya selepas tamat perlawanan di Ipoh.

Ketangkasan penjaga gol Terengganu, Muhammad Ilham Amirullah menyelamatkan beberapa percubaan dan menafikan sepakan Careca m-49 turut dikagumi bekas pemain dan jurulatih Selangor itu bagi menafikan peluang tuan rumah meraih kemenangan dengan jaringan lebih besar.

Durakovic menyifatkan penjaga gol skuad Penyu yang berusia 25 tahun itu sebagai wira perlawanan kerana mampu menafikan beberapa percubaan dan sepakan penalti tuan rumah.

"Pemain muda itu melakukan aksi terbaik dalam separuh masa pertama dan kedua. Jika bukan disebabkan olehnya, ia akan menjadi cerita berbeza, tentunya enam atau tujuh gol berjaya disumbat anak buah saya tetapi dia berjaya menyelamatkan beberapa percubaan itu," katanya.

Pemain import Terengganu, Dechi Marcel N'Guessan diperintah keluar padang kerana ima kad kuning kedua m-27.

Durakovic berkata, beraksi dalam perlawanan dengan 10 pemain bukan tugas yang mudah dan pasukan lawan dilihat bekerja keras untuk mencari gol sagu hati.

Sementara itu, jurulatih Terengganu, Mohd Nafuzi Muhammad Zain mengakui rentak anak buahnya malam tadi agak terjejas selepas pemain tengah importnya diperintah keluar padang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 2:34 PM