Geraint Thomas ketika dirawat pasukan perubatan selepas terbabit kemalangan di Switzerland. FOTO EPA
Agensi

JUARA bertahan, Geraint Thomas berkata, dia akan cergas untuk mengambil bahagian di perlumbaan Tour de France walaupun terbabit dalam kemalangan sehingga memaksanya menarik diri dari Tour de Switzerland dan turut dibawa menjalani rawatan di hospital, semalam.

Pasukan Ineos berkata pelumba Britain itu “Cedera melecet di bahu dan luka di bahagian atas mata kanan,” malah pelumba berusia 33 tahun itu terselamat daripada kecederaan serius.

“Sangat jelas ia amat mengecewakan dan ia adalah kemalangan kecil,” kata Thomas. “Namun masih ada banyak masa untuk memulakan persediaan di Brussels (pada 6 Julai).”

Thomas yang dijangka mengetuai Pasukan Ineos di perlumbaan Tour de France selepas rakan sepasukan Chris Froome mengalami kecederaan teruk apabila terbabit kemalangan di acara kriterium de Dauphine minggu lalu, menyebabkannya terpaksa berehat sekurang-kurangnya enam bulan.

Doktor pasukan Ineos, Derick Macleod berkata, Thomas sudah diberikan “lampu hijau”, namun mereka tetap akan melakukan pemantauan terhadapnya beberapa hari lagi.

“Kami optimis dia akan pulih sepenuhnya beberapa hari lagi dan jika keadaannya nampak bertambah baik dia mungkin boleh memulakan kayuhan dalam masa terdekat,” kata Macleod.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 12:21 PM