Pemain tengah Brazil, Luana Paixao (kanan) cuba mengatasi pemain Itali pada aksi Bola Sepak Piala Dunia Wanita, pagi ini. FOTO AFP
Reuters

JARINGAN penalti pada separuh masa kedua oleh Marta memastikan Brazil mara dalam kelompok 16 terbaik Piala Dunia Wanita ketika mencatat kemenangan 1-0 menentang Itali awal pagi ini, sekali gus memastikan skuad itu antara pasukan di tempat ketiga terbaik peringkat kumpulan.

Marta, pemain tunggal yang menjaringkan gol di lima perlawanan Piala Dunia berbeza, menyempurnakan penalti pada minit ke-74 ketika Brazil menduduki tempat ketiga saingan Kumpulan C dengan enam mata sama seperti Itali yang berada di kedudukan teratas kumpulan berkelebihan dengan perbezaan jaringan.

Ia jaringan ke-17 Piala Dunia, membolehkan dia mengatasi pemain Jerman, Miroslav Klose yang sebelum ini mencipta rekod penjaring terbanyak dalam perlawanan lelaki dan wanita.

Australia menewaskan Jamaica 4-1 untuk menduduki tempat kedua kumpulan turut memungut enam mata namun berada di atas Brazil dengan perbezaan jaringan dan dijangka berdepan antara pasukan tuan rumah, Perancis atau Jerman untuk perebutan tempat ke suku akhir.

“Kami sememangnya sasarkan tempat pertama dalam kumpulan ini, namun ini adalah persaingan Piala Dunia. Kini tidak kira siapa yang akan kami hadapi. Kami tidak boleh memilih,” kata Marta.

“Kami melepasi misi untuk layak. Sekarang kami perlu bersedia atau cuba pergi lebih jauh.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 6:57 AM