BADDROL Bakhtiar (kiri) meraikan gol pertama bersama rakan semasa menentang pasukan PKNS FC pada perlawanan Liga Super 2019, di Stadium Shah Alam.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


KEDAH berjaya membawa pulang tiga mata apabila bangkit menewaskan PKNS FC 3-2 pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.

Skuad Hijau Kuning terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah menerusi tandukan kapten Baddrol Bakhtiar pada minit ke-10 susulan sepakan sudut.

Pada babak kedua, skuad tuan rumah kendalian Datuk K Rajagobal dilihat lebih tersusun dengan melakukan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Kesilapan Shakir Hamzah yang menepis bola menggunakan tangan menghadiahkan sepakan penalti kepada PKNS dan disempurnakan oleh penyerang importnya Kpah Sherman.

Sherman sekali lagi menghukum kesilapan pertahanan lawan apabila mudah menyumbat gol kedua pada minit ke-52 untuk menewaskan penjaga gol kebangsaan Ifwat Akmal Che Kassim.

Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Aidil Sharin Sahak mengatur serangan untuk mencari gol penyamaan.

Kedah akhirnya menarik nafas lega apabila menyumbat gol penyamaan pada minit ke-69 menerusi pemain gantian Fayadh Zulkifli Amin.

Ketika perlawanan dilihat berakhir dengan kedudukan seri Rizal Ghazali muncul wira apabila menyumbat gol kemenangan buat Lang Merah pada masa kecederaan.

Keputusan itu menyaksikan Kedah memintas kedudukan Selangor di tangga ketiga dengan 26 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 11:43 PM