KHAIRY disahkan layak bertanding kerusi presiden MPM pada mesyuarat agung tahunan 29 Jun ini. FOTO Hazreen Mohamad
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


BIARPUN didakwa lewat menghantar borang pencalonan, bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar disahkan layak bertanding kerusi presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) pada mesyuarat agung tahunan (AGM) 29 Jun ini.

MPM dalam kenyataan media hari ini mengeluarkan senarai rasmi calon yang bertanding pada pemilihan itu dengan Khairy bertanding satu lawan satu dengan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Megat D Shahriman Zaharudin.

Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, Khairy layak bertanding selepas mematuhi peraturan pemilihan termasuk menghantar borang pencalonan dalam tempoh seperti tercatat dalam borang pencalonan.

Katanya, pada mesyuarat jawatankuasa MPM 15 Jun lalu, media meminta senarai lengkap calon, namun Setiausaha Agung, Siti Zaharah Abdul Khalid memaklumkan tarikh tutup pencalonan adalah pada hari sama.

“Senarai nama calon layak bertanding hanya akan dikeluarkan selepas itu. Naib Presiden MPM, Datuk R Subramaniam turut mengesahkan tarikh akhir penyerahan borang itu,” katanya.

SM Nasarudin berkata, selain Khairy, empat pencalonan diterima pada 15 Jun daripada Siti Zaharah dan Dr Naharuddin Hashim bagi jawatan naib presiden, Dr Radha S Krishnan serta Ng Keng Chuan (timbalan presiden).

“Pencalonan terakhir diterima pada jam 9.38 malam. Lembaga Eksekutif memutuskan kelima-lima calon dibenarkan bertanding kerana mematuhi peraturan dan menghantar borang pencalonan masing-masing dalam tempoh ditetapkan.

“Jawatankuasa Tatatertib dan Etika MPM menjalankan saringan bagi pengesahan semua dokumen dengan ahli persatuan pada Isnin lalu bagi menentukan calon yang layak untuk diumumkan hari ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 10:40 PM