KARIM dicabar timbalannya sendiri Muthu (kiri). — FOTO Hasriyasyah Sabudin
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim didakwa bersikap ‘kuku besi’ dalam membuat keputusan dan tindakan tertentu selama dua penggal menaungi badan induk sukan itu sejak 2014.

Timbalan Presiden KOM, Datuk S M Muthu berkata, sikap itu jelas apabila Karim bertindak menukar akauntan, pengurus pejabat dan kakitangan tanpa memberitahu atau mendapat persetujuan ahli jawatankuasa.

Katanya, sebagai timbalan presiden beliau dan ahli majlis KOM berhak mengetahui setiap tindakan atau keputusan dibuat demi kebaikan kesatuan.

Beliau berkata, perkara itu antara sebab utama beliau bertanding jawatan presiden pada mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi penggal 2019-2022, 30 Jun ini demi melihat perubahan dan kebebasan buat ahli majlis KOM.

“(Karim) juga sudah lama pegang jawatan di KOM, iaitu lebih 20 tahun bermula dari jawatan pengurus besar, setiausaha, timbalan dan presiden selama dua penggal. Bagilah peluang kepada orang lain.

“Lagipun beliau selalu ambil keputusan sendiri tanpa dapat persetujuan daripada jawatankuasa.

“Jangan selalu ambil keputusan ikut diri sendiri, mahu timbang tara semua ahli jawatankuasa dan kita pastikan apa-apa keputusan dan tindakan diambil ikut peraturan.

“Jangan nanti, apabila saya presiden, semua yang saya cakap kena dengar, itu tidak boleh. Ini kesatuan olahraga, bukan syarikat sendiri,” kata Muthu ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 8:15 PM