FELIX ketika menyarung jersi Portugal bulan ini. — FOTO Reuters
Reuters

ATLETICO Madrid dijangka membeli pemain tengah Portugal, Joao Felix dari Benfica dengan harga 120 juta euro (RM562 juta), menurut akhbar Sepanyol, Marca hari ini.

Felix, 19, melakukan penampilan sulung pasukan utama buat Benfica musim lalu, membantu kelab Lisbon itu memenangi kejuaraan liga Portugal dengan menjaringkan 15 gol dalam 21 perlawanan.

Dia turut tampil kali pertama bersama Portugal ketika menang 3-1 ke atas Switzerland pada separuh akhir Liga Negara Eropah bulan ini.

Menurut Marca, Atletico akan membayar tebus kontrak keseluruhan pemain itu, memecah rekod kelab 72 juta euro (RM337 juta) untuk mengikat pemain sayap Perancis, Thomas Lemar dari AS Monaco tahun lalu.

Atletico, yang muncul naib juara La Liga musim lalu, patut mempunyai dana yang besar selepas penyerang utama Antoine Griezmann menyatakan bulan lalu dia akan meninggalkan kelab itu.

Klausa tebus kontrak pemain kebangsaan Perancis itu merosot daripada 200 juta euro (RM937 juta) kepada 120 juta euro pada 1 Julai ini dengan media Sepanyol melaporkan dia sudah bersetuju dengan terma peribadi bersama juara La Liga, Barcelona.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 12:41 AM