JACKIE intai pertahan emas Sukan SEA. — FOTO Aswadi Alias
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


SELEPAS 15 kali memecah rekod kebangsaan milik sendiri, atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong kini menyasarkan untuk melakukan jarak balingan yang lebih jauh iaitu 70 meter.

Ia bukan sesuatu yang mustahil bagi atlet dari Sarawak itu kerana dengan usaha dan latihan konsisten dia pasti mampu melakukannya tahun ini.

Meletakkan sasaran mempertahankan emas pada temasya Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember, Jackie hanya perlu mencari 2.79m saja lagi untuk melepasi jarak 70m.

Terdahulu awal bulan ini dia memadamkan rekod lama miliknya sendiri pada kejohanan Terbuka Korea di Gwangju dengan catatan 67.31 meter.

Dalam tempoh tidak sampai dua bulan Jackie, 26, memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali yang mana kali pertama dilakukan ketika Kejohanan Asia di Doha April lalu dengan catatan 67.01m.

“Saya perlu melakukan penambahbaikan dari teknik. Jurulatih menyatakan beberapa teknik perlu diutamakan selepas ini.

”Perkara itu akan saya tekankan sepanjang latihan di China,” kata Jackie yang kini berada di Negara Tembok Besar untuk menjalani latihan hingga hujung bulan depan.

Menduduki ranking ke-97 dunia, Jackie dijangka akan menyertai beberapa lagi kejohanan sebelum turun mempertahankan emas di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 12:22 AM