McCann bantu skuad pertajam serangan. FOTO Ihsan Michael McCann
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


BUKAN Jamie Dwyer tetapi seorang lagi legenda Australia, Michael McCann akan hadir membantu barisan serangan skuad hoki lelaki negara menjelang saingan jelajah Eropah serta kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua jurulatih skuad negara, Roelant Oltmans yang mengesahkan perkara itu berkata, McCann bukanlah asing dalam arena hoki Australia dan mempunyai pengalaman luas selaku jurulatih.

"Dia akan hadir pada minggu pertama bulan depan. McCann adalah bekas penyerang Australia dan pernah menjadi jurulatih serangan di Jerman.

"McCann akan berada di Malaysia selama seminggu. Dia akan bekerjasama dengan barisan penyerang skuad negara dalam usaha untuk memperbaiki penyudah di bahagian itu," katanya ditemui pada sesi latihan skuad negara, hari ini.

Oltmans mengakui tidak menafikan kemampuan Dwyer yang sebelum ini disebut-sebut calon paling sesuai membantu bahagian serangan negara.

"Secara jujur saya melihat McCann lebih berpengalaman dan pernah menjadi jurulatih.

"Malah sebelum Dwyer dilabel sebagai legenda di Australia, McCann sudah mengecapi apa yang dicapai oleh Dwyer," katanya.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum ini ada menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmat Dwyer susulan masalah ketumpulan penyudah skuad negara pada Pusingan Akhir Siri FIH Mei lalu yang menyaksikan Malaysia muncul naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 6:34 PM