Pemain Amerika Syarikat meraikan jaringan membenam Chile di Perancis. FOTO EPA
Reuters

PENYERANG veteran Carli Lloyd menyumbat dua gol ketika Amerika Syarikat (AS) menewaskan Chile 3-0 awal pagi ini, sekali gus menyaksikan juara bertahan bola sepak Piala Dunia Wanita itu melangkah ke kelompok 16 terbaik.

Aksi cemerlang penjaga gol Chile, Christiane Endler, turut menyelamatkan pasukannya daripada dibolosi lebih banyak jaringan.

Carli, antara nama besar dalam perlawanan kategori wanita itu menjadi pemain pertama meledak dalam enam edisi Piala Dunia Wanita tetapi terlepas peluang melakukan hatrik apabila gagal menyempurnakan penalti pada lewat permainan.

Namun penjaga gol Chile, Christiane dilabelkan pemain terbaik perlawanan selepas berjaya mengagalkan percubaan berbahaya lawan dalam menghasilkan gol.


Carli Lloyd menjaringkan dua gol ketika Amerika Syarikat menewaskan Chile pada aksi Piala Dunia Wanita 2019. FOTO Reuters

“Endler mengagumkan, menakjubkan,” kata jurulatih AS, Jill Ellis mengenai pemain itu ketika sidang media.

“Dia salah seorang penjaga gol terbaik pernah saya lihat. Penjaga gol seperti itu akan membantu pasukan dan ia adalah petunjuk yang baik mengenai tahap kualiti penjaga gol.”

AS akan menentang Sweden bagi penentuan juara Kumpulan F selepas skuad dari Scandinavia itu turut menempah tiket ke pusingan kalah mati lebih awal dengan menewaskan Thailand 5-1.

Pada aksi pembukaan AS membelasah Thailand 13-0.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 9:43 AM