MARQUEZ (kanan) meraikan kejayaan di podium selepas memenangi GP Catalunya di Montmelo, hari ini. — FOTO AFP
AFP

PELUMBA Sepanyol, Marc Marquez yang menunggang Honda, mengukuhkan cengkaman dalam kejuaraan dunia apabila memenangi perlumbaan MotoGP pada Grand Prix Catalunya, hari ini.

Ia kemenangan pertama juara dunia lima kali itu di litar berdekatan kampung halamannya di Montmelo sejak 2014 dan lebih manis ia hadir selepas adiknya Alex turut memenangi kelas Moto2 sebelum itu.

“Pasukan saya melakukan tugas yang amat bagus dan saya mengucapkan tahniah kepada mereka,” kata Marquez. “Ia satu perlumbaan hebat.”

Penunggang dari Perancis, Fabio Quartararo, hanya 11 hari selepas menjalani pembedahan lengan, bermula dari petak utama perlumbaan ketujuh MotoGP musim ini namun akhirnya menghuni tangga kedua, 2.66 saat di belakang Marquez.


DOVIZIOSO (kiri) terbabit dalam kemalangan susulan kesilapan Lorenzo (kanan) di Litar Barcelona-Catalunya. — FOTO EPA

Marquez, yang mengumpul 140 mata, mempunyai kelebihan susulan pencabar dari Itali, Andrea Dovizioso terbabit dalam kemalangan dan mengukuhkan cengkamannya dalam ranking kejuaraan dunia dengan perbezaan 37 mata.

Dovizioso terbabit dalam kemalangan bersama dua pelumba Yamaha, Valentino Rossi dan Maverick Vinales berikutan kesilapan pelumba Honda, Jorge Lorenzo.

“Anda tidak mempunyai pilihan jika anda membrek agak lewat, seperti apa yang berlaku dengan saya hari ini. Ia kesilapan saya, kekhilafan saya dan saya memohon maaf. Memang agak malang secara tidak sengaja menyingkirkan Dovi, Maverick dan Valentino - ia bukan kesilapan mereka, ia salah saya,” tulis Lorenzo dalam Twitter.

Kemenangan Marquez hadir pada hari ulang tahun ke-70 MotoGP. Perlumbaan pertama pertandingan itu, Trofi Tourist Isle of Man, diadakan pada 1949 dan dimenangi pelumba Britain, Freddie Frith.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 10:30 PM