Zapata (kanan, atas) meraikan jaringan Colombia manakala Messi (tengah, bawah) kecewa kecundang pada perlawanan pembukaan Copa America. FOTO EPA/REUTERS
AFP

PAHIT untuk ditelan tetapi itulah dirasakan oleh Lionel Messi selepas Argentina tewas 2-0 kepada Colombia dalam aksi pembukaan Copa America di Salvador, awal pagi tadi.

Dua gol menerusi jaringan Roger Martinez dan Duvan Zapata pada 20 minit terakhir memberikan Colombia kejayaan pertama mereka mengatasi Argentina dalam tempoh 20 tahun ketika Messi berharap untuk meraih gelaran besar pada peringkat antarabangsa selepas tewas pada empat final sebelum ini.

“Kami meninggalkan tempat ini (Salvador) dengan rasa pahit,” katanya sejurus selepas perlawanan Kumpulan B tamat.

“Kami mendapat peluang pada separuh masa kedua.”

Pemain Barcelona berusia 31 tahun itu memiliki peluang terbaik tetapi tandukan susulannya tersasar selepas penjaga gol Colombia, David Ospina bertindak pantas menepis percubaan pemain bek tengah, Nicolas Otamendi.

Argentina gagal menembusi gawang Colombia sekalipun menguasai perlawanan dan mencipta lebih banyak peluang pada separuh masa kedua malah tidak berupaya melepasi kawalan Ospina.

“Kami tidak mahu memulakan perlawanan seperti ini. Jelas sekali kami perlu bangkit dan meneruskan saingan,” kata pemenang lima kali Ballon d’Or itu yang membentuk trio penyerang digeruni bersama pemain Manchester City, Sergio Aguero dan Angel Di Maria dari Paris Saint-Germain.

“Kami banyak bertahan pada babak pertama tetapi lebih banyak menyerang pada separuh masa kedua,” kata kapten Argentina itu.

“Setiap kali anda tewas ia sukar buat kami dan kami menerimanya dengan teruk. Sekarang kami perlu memikirkan perlawanan menentang Paraguay selepas ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 12:48 PM