MOHAMAD Norza. FOTO Owee Ah Chun
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yakin mereka mampu memendekkan tempoh untuk mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei daripada 10 hingga ke-15 tahun kepada lima tahun.

Menurutnya, untuk mencapai matlamat berkenaan pemain muda harus mempunyai pemikiran, disiplin dan pendekatan kelas pertama.

“Seperti Chong Wei cakap semuanya adalah di atas diri sendiri. Dulu beliau tidak mempunyai akademi seperti sekarang. Hari ini semua yang ada bertaraf kelas pertama,” katanya di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Ujarnya, paling penting sekarang ini mereka akan sentiasa berusaha untuk mempercepatkan tempoh bagi mencari pengganti kepada Chong Wei.

“Sama seperti Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann katakan paling senior bukan menjadi kepentingan, sebaliknya merit yang diutamakan. Kejayaan paling penting bukannya usia pemain.

“Kalau kita lihat Lee Zii Jia sekarang berusia 21 tahun. Kita tengok perkembangan Chong Wei lebih perlahan berbanding Zii Jia. Jadi ini adalah masanya untuk membantu Zii Jia ke depan,” katanya.


ZII Jia mampu ganti Chong Wei. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam

Norza yang juga Presiden MOM, mengakui bantuan sepenuhnya akan diberikan kepada Cheam June Wei dan Soong Joo Ven.

“Mereka yang ketinggalan jauh juga kita akan memberi kapasiti dari segi pendedahan ke kejohanan besar. Begitu juga dengan bahagian lain bukan saja perseorangan lelaki.

“Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga harus diberi peluang untuk mengejar Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi. Mereka yang berada di belakang tidak semestinya tiada peluang untuk mengejar,” katanya.

Dalam pada itu, Norza mengesahkan buat masa sekarang jurulatih kelahiran Indonesia, Hendrawan masih lagi bersama dengan BAM. “Beliau sudah sebati dengan bahagian perseorangan lelaki.

Kita akan lihat bagaimana untuk membahagikan tanggungjawab di antaranya bersama ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek dan Indra Wijaya. Semua ini akan dibincangkan semula dan terpulang kepada Choong Hann,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 7:01 AM