Lee Chong Wei ketika sesi latihan. Gambar File NSTP
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


DATUK Lee Chong Wei dijangka memulakan tugas di "luar gelanggang" bermula pada Ogos ini apabila dijadual menyertai seminar sebagai ketua kontinjen (CDM) untuk Olimpik Tokyo 2020.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya akan mempelawa bekas jaguh badminton berkenaan untuk menyertai seminar yang berkaitan dengan tugas dan tanggungjawabnya sebagai CDM bagi temasya sukan terbesar dunia itu.

"Mesyuarat MOM meluluskan Chong Wei sebagai ketua kontinjen negara ke Olimpik Tokyo secara sebulat suara dengan dia seorang dicalonkan.

Seterusnya kita akan menjemputnya menyertai seminar pada Ogos agar dia dapat melihat skop tanggungawabnya.

"Ia satu pendedahan yang bagus dengan Olimpik bukanlah sesuatu yang asing baginya. Dia sudah menyertai kebanyakan temasya besar sukan dan melihat cara pengurusannya.

“Baginya, ia adalah misi yang belum selesai iaitu mendapatkan emas Olimpik pertama negara," jelas Norza selepas mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-189.

Sehingga kini hanya tiga atlet negara mengesahkan tiket ke Olimpik Tokyo iaitu dua atlet pelayaran Khairulnizam Mohd Afendy Abdullah dan Nur Shazrin Mohd Latif menerusi acara laser standard dan laser radial selepas cemerlang di Sukan Asia 2018 selain pemanah Khairul Anuar Mohamad yang meraihnya beberapa hari lalu.

"Saya berharap lebih ramai akan mengesahkan tiket seperti hoki, berbasikal trek, karate, badminton, terjun dan sukan lain. Saya jangka kita akan dapat mengetahui jumlah sebenar pada awal tahun nanti.

"Jika terdapat keperluan untuk melantik seorang timbalan CDM untuk membantu Chong Wei bagi menjaga kebajikan atlet, kita akan pertimbangkan," tambahnya.

Pemenang tiga pingat perak Olimpik berkenaan mengumumkan persaraan pada Khamis lalu selepas 19 tahun menabur bakti kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 7:38 PM