LIONEL MESSI
Reuters

PERTAHANAN Argentina Nicolas Tagliafico memuji kaptennya Lionel Messi kerana keinginannya untuk menjulang trofi buat negaranya ketika mereka memulakan misi untuk mengakhiri penantian 26 tahun terhadap gelaran dengan aksi sulung Copa America menentang Colombia pagi esok.

Messi berehat seketika selepas kempen Piala Dunia 2018 berakhir dengan kegagalan selepas tewas kepada pasukan juara, Perancis tetapi penyerang Barcelona itu kembali ke pangkuan skuad kebangsaan awal tahun ini untuk persiapan Copa - kali terakhir Argentina memenanginya adalah pada 1993.

Messi, kini berusia 31 tahun, juga meninggalkan skuad kebangsaan selepas tewas final Copa America 2016 kepada Chile, kekalahan keempat berturut-turut Argentina dalam final kejohanan utama selepas kekalahan mengecewakan pada final 2007 dan 2015 dalam Copa dan 2014 ketika final Piala Dunia.

“Saya bertuah berada dalam pasukan sama seperti Messi sebelum ini dan keinginannya membuatkan saya amat kagum,” kata Tagliafico ketika sidang media menjelang aksi Kumpulan B di Fonte Nova Arena, Salvador.

“Dia tetap mahu kembali dan terus mencuba, itu luar biasa. Dia masih sama seperti di Piala Dunia, dia tenang dan mempunyai keinginan yang sama seperti sebelumnya.”

Jurulatih Lionel Scaloni turut mengulangi pujian pertahanan itu terhadap Messi, penjaring terbanyak Argentina sepanjang zaman yang gagal mengulangi pencapaiannya di Barcelona untuk negaranya.

“Saya mahu memberi tumpuan terhadap semangatnya bermain bola sepak. Dia dilahirkan untuk bermain bola sepak, dia dilahirkan untuk menang,” kata Scaloni.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 9:05 AM