RONALDO (kanan) melakukan percubaan ke arah pintu gol PJ City pada aksi di Stadium MBPJ, malam ini. — FOTO Mahzir Mat Isa
Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my


PERAK mengelak daripada merakam keputusan seri buat kali ke-10 musim ini apabila menang tipis 1-0 ke atas PJ City pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Keputusan itu membolehkan skuad bimbingan Mehmet Durakovic kembali menikmati mata penuh selepas gagal meraih kemenangan dalam dua aksi terdahulu sementara PJ City tidak dapat bangkit daripada kekalahan 0-3 di tangan PKNS FC sebelum ini.

Bagaimanapun, Perak terlebih dahulu memperoleh gol pembukaan apabila hantaran Raianderson disudahkan dengan kemas oleh Ronaldo pada minit ke-18 sekali gus menggamatkan Stadium MBPJ.

Perak hampir meraih gol kedua pada minit ke-40 namun percubaan deras Raianderson ditepis Muhaimin Mohamad untuk memastikan tuan rumah tidak jauh ketinggalan ketika beberapa sepakan percuma yang diperoleh PJ City FC gagal menghasilkan sebarang gol penyamaan.

Misi tuan rumah memburu gol penyamaan terbantut selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila kaptennya, S Subramaniam dilayangkan kad kuning kedua sekali gus diperintahkan keluar padang selepas mengasari Raianderson pada minit ke-65.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 12:04 AM